Home Management Team Professional Services Contact Us  
Telemovies Drama Series Films International TVC & Ads
 



Tema : Memanusiakan Manusia
Genre : Melodrama
Arahan : Adam Hamid Fdam
Skrip : Mazalan Manan
Format : Digital
Durasi : 90 minit

Pelakon :
Intan Azura
Muniff Isa
Hairul Azreen
Normah Damanhuri
Tony Eusoff
Erin Malek

Terima Kasih Cikgu

Sinopsis

Latar Tahun 1994.

Cerita bermula pada hari pertama Cikgu Nabila (35 tahun) memulakan tugasnya sebagai Guru Sejarah di sebuah sekolah di bandar besar. Ketika beliau memasuki kelas, beliau melihat Zurain, Ketua Pengawas Perempuan sedang bertelagah dengan Zamri dan Johari yang hendak ponteng sekolah. Cikgu Nabila menegur tindakan Zamri dan Johari, bagaimanapun beliau dipermainkan oleh Zamri dan Johari sebelum kedua-duanya meneruskan tindakan ponteng sekolah.

Memandangkan beliau juga turut diberi amanah sebagai guru kelas, ketika waktu rehat, Cikgu Nabila cuba mendapatkan maklumat tentang Zamri dan Johari daripada Zurain. Ternyata kedua-duanya merupakan pelajar bermasalah yang tinggal di rumah pangsa dan tindakan ponteng sekolah adalah perkara biasa bagi Zamri dan Johari. Bagaimanapun selepas meneliti rekod pelajaran Zamri, Cikgu Nabila mendapati Zamri mempunyai potensi dalam pelajaran. Plot cerita ini berkembang apabila Cikgu Nabila memanggil Zamri dan cuba menyedarkan tentang kesilapan yang Zamri lakukan. Bagaimanapun beliau telah ditempelak oleh Zamri, sekaligus Zamri memberi amaran supaya Cikgu Nabila tidak mencampuri urusannya.

Memandangkan beliau baru saja mengenali Zamri, Cikgu Nabila masih menggunakan pendekatan berhemah dalam usaha menawan hati Zamri. Bagaimanapun apabila Zamri masih berterusan ponteng sekolah dan berlaku insiden apabila melihat menegur sikap Zamri yang tidak menyiapkan kerja-kerja khusus, Zamri bersikap kasar dengan mencampak buku latihannya ke lantai.

Oleh kerana sikap Zamri makin keterlaluan, Cikgu Nabila bertindak memanggil kedua ibu bapa Zamri ke sekolah. Malangnya yang datang cuma, Ramlah iaitu ibu kepada Zamri. Bagi Ramlah, Zamri sudah besar dan boleh memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk. Dia tidak mempunyai masa untuk memberi perhatian kepada Zamri memandangkan dia mempunyai empat orang lagi anak yang perlu diberi perhatian, sementelahan pula dia dan suaminya (ADAM) sibuk berniaga di pasar malam.

Tindakan Cikgu Nabila melaporkan disiplinnya kepada Ramlah dan Adam, menyebabkan Zamri dimarahi oleh Adam. Ini menyebabkan Zamri makin berdendam dengan Cikgu Nabila dan bertindak sengaja menyakitkan hati Cikgu Nabila. Pernah satu ketika, Zamri bertindak meggoreskan kereta Cikgu Nabila. Zurain yakin tindakan tersebut dilakukan oleh Zamri, bagaimanapun kerana Cikgu Nabila tidak pasti, dia membiarkan saja perkara tersebut. Zamri pula yang masih tidak puas hati dengan tindakannya merosakkan kereta Cikgu Nabila, bertindak bersemuka dan memberi amaran kepada Cikgu Nabila supaya tidak mencampuri urusannya. Namun bagi Cikgu Nabila, selaras dengan tanggungjawabnya sebagai guru dan falsafah pendidikan yang dijunjung, tugasnya bukan sahaja memberi pelajaran kepada pelajar tetapi juga memanusiakan manusia. Lebih dari itu, tidak seorang guru pun yang ingin melihat anak muridnya terkandas dalam perjalanan hidup.

Kemuncak konflik kepada cerita ini, apabila Zamri mengambil tindakan langsung tidak datang ke sekolah setelah ditampar oleh Adam. Dia menyalahkan semua ini gara-gara Cikgu Nabila yang memanjangkan masalah disiplinnya kepada keluarganya. Bimbang dengan keselamatan Zamri, Cikgu Nabila berjumpa dengan Ramlah, bagaimanapun Ramlah sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Alasannya tetap sama, dia masih ada empat orang anak yang perlu diberi perhatian. Manakala Adam pula menyalahkan pihak sekolah kerana gagal memberi pendidikan yang sempurna kepada Zamri.

Atas dasar sikap keprihatinan dan amanah yang dijunjung, Cikgu Nabila mendesak Johari untuk mengetahui di mana Zamri berada. Pada mulanya Johari takut hendak memberitahu kerana dia telah diberi amaran oleh Zamri, namun akhirnya dia mengalah. Zamri yang tertekan dengan kehidupannya, mula dipujuk oleh kawan-kawan yang lebih dewasa. Mereka merancang untuk menjadikan Zamri seorang penagih dadah dan akhirnya bertindak sebagai pengedar kecil-kecilan. Mereka yakin Zamri sanggup menjadi pengedar kecil-kecilan memandangkan Zamri memerlukan bekalan dadah untuk diri sendiri.

Ketika Zamri cuba mengambil najis dadah, Cikgu Nabila dan Johari sampai di tempat Zamri selalu berkumpul. Cikgu Nabila cuba menyelamatkan Zamri, bagaimanapun kawan-kawannya bertindak kasar ke atas Cikgu Nabila. Meskipun diperlakukan dengan kasar, Cikgu Nabila tetap berusaha untuk membawa Zamri beredar dari situ. Zamri makin tertekan, dia tidak mahu Cikgu Nabila mengambil berat terhadapnya, bagaimanapun Cikgu Nabila tetap berkeras dia mahu pelajarnya yang bernama Zamri bin Adam menjadi manusia. Dalam kekalutan itu, Cikgu Nabila yang menghidapi barah paru-paru mengalami sesak nafas dan akhirnya pengsan. Keadaan menjadi kelam kabut. Kawan-kawan Zamri bertindak melarikan diri. Zamri dan Johari kebimbangan. Zamri meraung dan menangis memanggil nama Cikgu Nabila.

LIMA BELAS TAHUN KEMUDIAN

Yayasan Pewaris dikejutkan dengan berita seorang Jutawan Internet  mahu menghulurkan derma sebanyak RM500,000.00. Cikgu Nabila yang menubuhkan Yayasan Pewaris setelah dinasihatkan bersara awal atas faktor kesihatan, telah mendermakan ke semua hartanya untuk yayasan tersebut, begitu teruja dengan berita tersebut. Beliau mengadakan satu majlis penyerahan sumbangan, malangnya tuan punya syarikat internet tersebut tidak dapat menghadirkan diri. Beliau hanya mewakilkan rakan kongsinya. Cikgu Nabila yang kelihatan amat keletihan, memberi ucapan terima kasih dan terharu di atas sumbangan tersebut. Dia juga kecewa kerana tidak dapat berkenalan dengan penyumbang yang budiman.

Ketika Cikgu Nabila memberi ucapan, Zamri datang dan membisikkan sesuatu kepada pengerusi majlis. Sebaik Cikgu Nabila menamatkan ucapannya, pengerusi majlis menjemput Zamri sebagai pemilik syarikat, yang juga penyumbang untuk Yayasan Pewaris. Ketika memberi ucapan, Zamri merakamkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Nabila kerana berjaya memanusiakan dia. Cikgu Nabila terharu.

Cerita ini berakhir ketika Zamri menjemput Cikgu Nabila ke pentas sebagai penghargaan terhadap kejayaannya selama ini adalah wajar dikongsi bersama Cikgu Nabila. Ketika itu juga Cikgu Nabila mengalami kesakitan yang amat sangat, lalu meninggal di pangkuan Zamri. Sebelum menghembus nafas yang terakhir, beliau mahukan Zamri meneruskan Yayasan Pewaris sebagai pemangkin untuk memanusiakan manusia.













Back